ASSALAMU A'LAIKUM WARAHMATULLAH.. MUGA CERIA BAHAGIA DISAMPING YANG TERSAYANG DAN YANG TERCINTA


Friday, 7 July 2017

Walau Jatuh Tersungkur, Namun Bangkitlah Kembali



Hidup sebagai seorang manusia akan sentiasa diuji dan diuji. dan kekadang ujian itu terlalu berat untuk kita terima dan terlalu perit untuk ditelan. Namun, kita sebagai hamba Allah seharusnya sedar bahawa untuk lahir sebagai seorang hamba Allah yang beriman dan mendapat tempat di sisi Allah pastinya perlukan sedikit pengorbanan. di sebalik kepahitan yang dilalui pastinya ada kemanisan yang dijanjikan di penghujungya.

Cuba kita singkap kembali kisah perjuangan nabi junjungan besar kita Muhammad SAW. Betapa hebat dan kuatnya dugaan dan cabaran yang dilalui oleh kekasih Allah ini. namun dugaan dan keperitan hidup itu tidak pernah menjadikan ia sebagai satu alasan untuk meninggalkan perjuangan.

Lantas siapa kita untuk berhenti dari terus mendamba cinta dan kasih darinya. percayalah walau tiada sesiapapun di sisi untuk memberi sekelumit semangat dan kata-kata semangat tapi percayalah Allah sentiasa bersama kita. Ingatlah balasan yang besar telah dijanjikan oleh Allah kepada hamba-hamba yang bersabar.

Hujan tidak selalunya membawa kepada kemusnahan tetapi ia sebagai satu peringatan mungkin kita terlaku leka dengan nikmat kecerahan..



Wednesday, 31 May 2017

Akar Seorang Muslim.

Pendidikan akidah merupakan asas kepada pembinaan Islam pada diri seseorang. Ia merupakan inti kepada amalan Islam seseorang. Seseorang yang tidak memiliki akidah menyebabkan amalannya tidak mendapat pengiktirafan oleh Allah SWT. Ayat-ayat yang terawal yang diturunkan oleh Allah swt kepada Nabi Muhammad SAW di Makkah menjurus kepada pembinaan akidah. Dengan asas pendidikan dan penghayatan akidah yang kuat dan jelas maka Nabi Muhammad SAW telah berjaya melahirkan sahabat-sahabat yang mempunyai daya tahan yang kental dalam mempertahan dan mengembangkan Islam ke seluruh dunia.

Bilal bin Rabah tidak berganjak imannya walaupun diseksa dan ditindih dengan batu besar di tengah padang pasir yang panas terik. Demikian juga keluarga Amar bin Yasir tetap teguh iman mereka walau berhadapan dengan ancaman maut. Dari sini kita nampak dengan jelas bahawa pendidikan akidah amat penting dalam jiwa setiap insan muslim agar mereka dapat mempertahan iman dan agama Islam lebih-lebih lagi di zaman globalisasi yang penuh dengan cabaran dalam segenap penjuru terutamanya internet dan teknologi maklumat yang berkembang dengan begitu pesat sekali.

Matlamat utama pendidikan akidah Islam ialah mendidik manusia supaya mengakui keesaan dan ketunggalan Allah swt sebagai tuhan yang wajib disembah. Tiada sekutu bagiNya. Ini dijelakan oleh Allah SWT dalam firmanNya yang bermaksud :

"Katakanlah (wahai Muhammad) Dia ialah Allah Yang Maha Esa. Allah menjadi tumpuan sekelian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak dan tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapa yang setara denganNya" (Al-Ikhlas : 1-4)


Ayat di atas mendidik manusia supaya mengaku keesaan dan kekuasaan Allah SWT. Ayat ini diturunkan di Makkah di awal perkembangan Islam. Oleh kerana akidah merupakan asas kepada kekuatan dan pembinaan Islam sebagai al-Din maka wahyu-wahyu yang terawal yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw menjurus kepada pendidikan Akidah bagi menanam keyakinan yang teguh dalam jiwa manusiatentang keesaan Allah SWT.

AA..  Melahirkan manusia yang patuh dan tunduk kepada Allah swt .Pendidikan akidah juga penting untuk mendidik manusia supaya patuh dan tunduk kepada kebesaran dan keagongan Allah SWT.

BB..  Membentuk keperibadian insan


Sebagaimana acuan dapat membentuk dan mencorakkan air kandungannya maka demikianlah akidah dapat membentuk dan mendidik orang yang mengambilnya menepati dengan hakikat dan tabiat kemanusiaan yang tulen dan asli seperti yang dikehendaki oleh penciptanya. Pendidikan akidah dapat membentuk sifat-sifat nalurinya, akal fikirannya, iradahnya dan perasaannya. Ringkasnya pendidikan akidah bermatlamat untuk membentuk nilai akhlak dan keperibadian seseorang insan yang akan mencorakkan suluk amali atau gerak laku amal perbuatan selaras dengan peranan dan tanggungjawab manusia sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi ini.

Akidah Islam ialah akidah yang bersumberkan ketuhanan (akidah Rabbaniyyah) yang tetap, syumul, menyeluruh dan fitrah. Tabiat akidah yang demikian ialah akidah yang kukuh dan teguh. Hanya akidah yang teguh sahaja dapat membentuk manusia yang teguh dan kukuh. Kekukuhan dan keteguhan akidah ialah kerana kekukuhan dan keteguhan ciri-ciri yang menjadi kandungan akidah itu, yang merangkumi segala hakikat iaitu hakikat ketuhanan, hakikat alma semesta dan hakikat kemanusiaan serta nilai-nilai kebenaran, kebaikan dan keindahan.

Kekukuhan akidah inilah yang akhirnya menjadi sumber kekuatan Islam. Itulah hakikat kekuatan umat Islam, kekuatan jiwa dan rohani serta peribadinya yang menjadi asas kepada kekuatan jasmaninya. Di dalam sejarah kegemilangan umat Islam yang silam kita mendapati bahawa umat Islam di masa itu telah dibentuk dan dididik oleh akidah yang akhirnya melahirkan kekuatan yang sungguh kental dan luar biasa.

Kita lihat sahaja kepada Bilal, bahawa akidah telah memberikan kekuatan kepadanya. Abdul Rahman bin Auf dan Osman bin Affan sanggup membelanjakan hartanya kerana mempertahankan Islam sehingga tiada apa lagi yang dimiliki melainkan Allah SWT dan Rasul. Ali bin Abi Talib sanggup mempertaruhkan nyawanya kerana Rasulullah saw dan banyak lagi contoh-contoh yang ditunjukkan oleh para sahabat Rasulullah SAW hasil dari pendidikan akidah yang mantap.


Siapa Kita Pada Pandangan-Nya? (Allah)

Saya mendengar suatu video yang sangat membuatkan saya terjentik rasa. Bergetar seluruh jiwa.
Menceritakan,  

"Suatu hari, tuan haji ini ingin membayar barang beliannya kepada seorang penjual. Lalu, penjual tersebut mengambil duit itu dan membelek-beleknya. Lama.. Tidak lama kemudian, penjual itu berkata 'Tuan Haji, duit ini palsu.' Maka, terkejutlah tuan haji tersebut lalu jatuh pengsan.

Bila dia sedarkan diri, peniaga tersebut berkata kepadanya, 'Tuan Haji, saya tidak marahkan tuan cuma saya ingin mengatakan bahawa duit tuan itu palsu, tidak bernilai.' "Ya, saya tahu kamu tidak marahkan saya. Saya jatuh pengsan kerana saya tiba-tiba berfikir. Jika kelak saya dihitungkan amal, saya serahkan semua amalan saya lakukan di dunia kepada Allah tapi tiba-tiba Allah lalu mengatakan,


'Semua amal yang kau lakukan palsu, dusta!' Bagaimana untuk saya hadapi situasi tersebut?"
Allahuakbar.  


Sangat 'terasa' seolah Allah juga sedang mengatakan kepada diri sedemikian. Membuatkan hati merasa takut yang amat. Tanpa sedar air mata mencurah-curah.

"Ya Allah, aku tiada apa amal yang hebat untuk dihadapkan kepada-Mu. Aku masih belum buat apa-apa untuk Islam. Aku masih belum berjuang sungguh-sungguh untuk agama.

Aku masih sedang bertatih mengenal-Mu. Masih sedang belajar bersabar dan bersyukur. Masih sedang menghadam erti hikmah di sebalik setiap ujian.

Allah Tuhanku. Aku tiada amal, sedikit sekali. Jika amal yang sedikit ini menjadi seperti debu-debu berterbangan, maka hancurlah jiwa. Sengsaralah diri.

Allah Tuhanku. Siapalah aku pada pandangan-Mu? Tiada apa-apa. Jika bukan kerana rahmat-Mu, tidaklah hamba memiliki apapun di dunia ini. Bantu hamba untuk terus menyungkur sujud kepadaMu ya Rabbi..."


Teringat segala janji-janji dengan Tuhan.

Ya Allah, bantu aku laksanakan segala janjiku kepada-Mu....

Apabila ditanya, 'Bagaimana kita mahu mengetahui pandangan kita atau kedudukan kita di sisi Allah?"


Kata para ulamak,  

'Lihatlah bagaimana kita letakkan Allah di sisi kita." Jujurlah bertanyakan pada diri sendiri. Apakah....Kita ingat Allah lebih banyak daripada kita ingat kepada manusia setiap hari?
 

Kita ingat Allah, lebih banyak kita fikirkan pandangan Allah akan terima amal kita ke tidak atau kita lebih banyak memikirkan pandangan dan kritikan manusia pada kita? Kita ingat Allah, dengan sebenar-benar tulus ingatan, atau kita lebih banyak mengingati hal-hal keduniaan?

Jika isi dunia yang lebih banyak kita ingati, sungguh kita masih 'jauh' dari Allah sebenarnya. Amr bin ‘Auf r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda "Demi Allah! Bukanlah kemiskinan itu yang aku khuatirkan terhadap kamu, tetapi yang aku khuatirkan kepada kamu ialah dunia dilapangkan kepada kamu, sepertimana ia telah dilapangkan kepada orang-orang sebelum kamu, kemudian kamu akan berlumba-lumba untuk mendapatkannya sepertimana orang-orang sebelum kamu berlumba-lumba untuk mendapatkannya. Lalu dunia akan melalaikan kamu sepertimana ia telah melalaikan mereka." (Hadis Riwayat Bukhari)

"Kita bukan siapa-siapa. Usah sesekali berbangga dengan apa yang kita punya. Ia semua milik DIA, Sang pemilik utama.

Kita bukan siapa-siapa. Usah berbangga jika manusia memuji. Belum tentu malaikat sudi untuk memandang diri.

Kita bukan siapa-siapa. Usah berbangga jika diri femes dikenali. Sedangkan para langit tidak mengenali.

Kita bukan siapa-siapa. Jika bukan Allah yang memberi pinjam kepada kita.

Bersyukurlah selalu dengan apa yang punya. Dan teruslah ikhlas menjadi hamba-Nya, bukan hamba dunia.



Hati Tak Tenang - Tak Mahu Memaafkan

Kebahagiaan atau penderitaan tidak perlu mencari siapa yang bersalah, atau yang menyebabkan hidup anda menderita. Anda harus mampu memaafkan orang lain  yang telah menyakiti hati anda. Mohonlah keampunan kepada Allah untuknya dan sikap itu membuatkan anda termasuk orang yang diberikan rahmat oleh Allah. Jika  anda disakiti bererti anda sedang teraniaya. Orang yang teraniaya adalah orang yang sedang diuji sekali gus diberikan kemudahan oleh Allah. Allah memberikan dua  pilihan membalas perbuatannya atau memaafkan. Jika anda tidak membalas tetapi bersabar dan memaafkan orang yang telah menyakiti anda maka Allah akan memberikan  ampunan dosa-dosa anda dan Allah menganugerahkan kepada anda kehidupan yang lebih sihat, indah dan membahagiakan.

Pilihan terletak di tangan anda. Jika anda memilih kebahagiaan, kemaafan adalah sesuatu yang indah sebaliknya jika anda lebih suka berdendam, jiwa anda tidak  kan damai dan sentiasa sesak seolah-olah ada yang menusuk di dada.

Di dalam al-Quran, terdapat begitu banyak ayat-ayat tentang sifat yang mulia ini. Antaranya ialah: mendapat keampunan daripada Allah SWT. “..hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”. (An-Nuur [24] : 22)  

Mendapat redha Allah SWT. 

“...Sesiapa yang  memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (atas tanggungan Allah dengan diberi balasan yang  sebaikbaiknya).  Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim”. (Asy-Syura [42] : 40)

Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh (jahil atau tidak mengetahui) (Surah Al- A’raf 7: Ayat 199)

Nabi s.a.w bersabda, “Tidaklah seorang itu suka memaafkan, melainkan dia akan semakin mulia.” [HR Muslim]  “Orang yang paling sabar di antara kamu ialah orang yang memaafkan kesalahan orang lain padahal dia berkuasa untuk membalasnya.” (Riwayat Ibnu Abiduyya dan Baihaqi)

Lupakan Segalanya

Setelah memaafkan, jangan peduli apa yang telah berlaku sebaliknya teruskan perjalanan hidup anda dengan melupakan segala yang berlaku dan anggaplah ia satu pengalaman indah dalam hidup. Ingatlah, pasti ada yang lebih baik dalam aturan Allah di perhentian masa depan, jika tidak terus melangkah anda tidak akan sampai ke perhentian itu! Rancangan Allah maha sempurna, jangan calitkan dengan sedikit keraguan pun. Berdoalah agar diberi kekuatan, gantikan tangisan dengan senyuman dan ujian yang diberikan sebagai kekuatan untuk terus melangkah dan lebih dekat kepada- Nya.

Sedarilah sesungguhnya, tiada yang lebih mengerti perasaan anda melainkan Allah SWT. Tiada yang lebih dekat dengan anda melainkan Allah jua. Maka mintalah dan mengadulah segalanya dalam sujud  kepada-Nya. luahkan segala yang terbuku di dalam dada dan berserahlah kepadanya. Insya-Allah segala yang sukar akan dipermudahkan.

Namun, kemaafan haruslah dengan keikhlasan kerana tanpanya anda masih terasa buntu dalam menemui erti ketenangan sebenar. Muhasabahlah. Mungkin tanpa disedari ketika bibir laju memohon keampunan, kemaafan masih belum dihulur. Jadi bagaimana ketenangan dinikmati andainya masih lagi berbekas rasa marah dalam hati. Anda ingin  Allah mengampunkan dosa, tetapi anda lupa memberi maaf pada mereka yang bersalah, membuat mereka terluka.

Memaafkan bukan mudah selagi anda  bernama  manusia yang fitrahnya berteman khilaf, selalu kalah dengan ujian Allah SWT. Tidak mahu mengaku kalah sedangkan Allah lebih menyukai mukmin yang kuat  berbanding mukmin yang lemah. Anda juga kita terlupa yang menggerakkan sesuatu itu adalah Allah. Hati manusia seperti saya, seperti dia, seperti semua, dipegang oleh Allah. Tiada satu pun yang akan terjadi tanpa izin dari-Nya. Setiap sesuatu, telah dirancang Allah  sebaiknya. Baik atau buruk hanyalah di mata kita, manusia yang terhijab dari segala kebaikan yang Allah telah aturkan. Jangan ingat yang membuatkan anda terluka itu kejam, sebaliknya anda lebih zalim kerana tidak mahu memaafkan.

Sedangkan Allah SWT, pemilik seluruh langit dan bumi, sedia mengampunkan hambanya sebagaimana sering ditegaskan dalam al-Quran bahawa Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Mengapa anda sukar untuk memaafkan  sedangkan kita hamba yang begitu kerdil dan tidak lepas daripada melakukan dosa? Ingatlah, jalan ke syurga itu tidak mudah. Mahu ke syurga itu perlu diselangi  dengan jerih payah.

Maka, Mengapa Harus Kita Berkeluh Kesah? 

Percayalah, apabila memaafkan maka perlahan-lahan rasa itu pasti datang, tenang, damai dan lapang. Bila mana tangan ditadah, lalu memaafk an setulus hati, dapat dirasakan hati bersorak girang. Hati terasa bebas daripada dendam dan amarah kerana tidak lagi menangisi sesuatu yang telah terjadi.


Sunday, 21 May 2017

Ikhlas?... Tanyalah Pada Hati


Orang yang sibuk melakukan kebaikan tidak akan sempat melihat kejahatan orang lain. Itulah kata-kata yang jika dihayati mengundang makna yang begitu besar kepada diri kita. Di mana kita? Adakah mata kita masih melihat kejahatan orang lain? Adakah telinga kita masih suka mendengar cerita-cerita buruk tentang orang lain dan mulut kita masih gemar menuturkan kejahatan orang lain? Jika semua ini masih wujud dalam diri, usahlah anggap anda sudah cukup melakukan kebaikan!

Jika anda melakukan kebaikan sekalipun, usahlah merasa anda hebat dan mendambakan sanjungan kerana ia hanya akan mengundang riak. Jika ibadat anda melebihi orang lain, usah berbangga dengan diri kerana ia mengundang ujub, sukar dikesan dan dirawat.

Bukan mudah untuk ikhlas. Makin dicari makin misteri. Lakukanlah semua perkara kerana Allah.. itu yang dinamakan IKHLAS.

Anda ikhlas? Tanyalah pada hati dan anda akan temuiya....

Kedudukan Ikhlas

Ikhlas merupakan hakikat agama, intinya ibadah, kunci dakwahnya para Rasul, dan merupakan syarat diterimanya amal. Maksud ikhlas adalah mengesakan Allah ta’ala dalam niat dan tujuan ketika berbuat ketaatan dengan membersihkan amalan tersebut dari pengawasan makhluk, dan membersihkannya dari kotoran syirik, kekufuran & kedurhakaan.

Ibnu Taimiyyah mengatakan: Jika seorang hamba ikhlas dalam amalnya, maka Alloh akan menerimanya dan akan menghidupkan hatinya. Ibnu Jauzi berkata: Sedikit sekali orang yang beramal ikhlas, karena kebanyakan manusia suka menampakkan ibadah mereka .

Makna Ujub dan Bahayanya

Ujub adalah salah satu perbuatan yang merosak amal dan membinasakan pelakunya. Bahawasanya ujub adalah penyakit yang menghilangkan dan berlawanan dengan keikhlasan, menghilangkan rasa dzull (hina atau rendah) kepada Allah, dan menunjukkan buruk dan jeleknya adabnya kepada Allah; maka ujub itu menbanggakan diri dan buta akan aib dan keburukan diri. Ujub adalah memperlihatkan ibadah dalam bentuk sombong dan membesarkan diri. Ujub dalam agama iaitu memuji diri sendiri atas apa yang diamalkan atau apa–apa yang telah diilmui dan melupakan nikmat dari Allah. Memuji diri dan melupakan nikmat Allah adalah ujub dalam agama.

Perbezaan antara Ujub dan Riya’

Ujub itu temannya riya’, tetapi riya’ itu perbuatan syirik kepada Allah dan yang dijadikan sekutu adalah makhluk selain dirinya, sedangkan ujub yang dijadikan sekutu adalah dirinya sendiri. (Jadi riya’ itu beribadah kepada Allah tetapi disertai dengan niat dan tujuan lain dari perkara dunia, sementara ujub itu merasa hebat, paling pintar dan menyombongkan diri dihadapan Allah ) Pelaku riya’ itu tidak merealisasi firman Allah ‘Iyyaka na’budu’ sedang pelaku ujub tidak merealisasi firman Allah ‘Iyyaka nasta’iin’, maka barang siapa yang merealisasi ‘Iyyaka na’budu’ menghilangkan riya’, sedangkan yang merealisasi ‘Iyyaka nasta’iin’ menghilangkan ujub.

Perbezaan Ujub dan Sum’ah

Ujub itu didalam hati sedangkan sum’ah itu dengan lisan dan sum’ah itu sama makna dengan riya’. (Maka sum’ah itu memperdengarkan amal kebaikannya kepada orang lain agar mendapat pujian atau dikatakan hebat)

Perbezaan antara sombong dan Ujub

Ujub itu adalah ta’jub dengan amalannya memuji diri sendiri, melupakan Allah Ta’ala dan tidak membesarkan diri dihadapan orang lain, dan tidak merendahkan manusia; tapi jika ujub ini sampai melihat dirinya lebih baik dari yang lain dan merendahkannya maka tatkala itu menjadi sombong.

Diantara sifat yang terkumpul dalam ujub :

Buta dengan dosa yang telah dilakukan

Menganggap kecil dosa yang banyak

Buta dengan kesalahan-kesalahannya

Perkataannya bukan Al-haq

Menimbulkan sombong dan bangga diatas orang lain

Menipu Allah Ta’ala yang ditunjukkan dengan amal dan ilmunya, seakan-akan ia adalah orang yang mendapat kurnia (yang dipilih) Allah

Sekadar renungan dan panduan untuk diri sendiri